POLIS mengesahkan tiada unsur buli atau jenayah dikesan setakat ini dalam insiden membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang dilaporkan terjatuh dari bangunan sebuah sekolah di Pontian, semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu yang dibuat oleh pihak sekolah dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati insiden berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang perlakuan buli atau kesalahan jenayah.
“Setakat ini, tiada unsur-unsur buli dikesan. Siasatan juga tidak membabitkan apa-apa kesalahan jenayah,” katanya.
Terdahulu, pihak sekolah dalam satu kenyataan memaklumkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dilaporkan terjatuh dari bangunan sekolah berkenaan semalam.
Susulan kejadian itu, pihak sekolah mengambil tindakan segera dengan membawa pelajar terbabit ke hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.






