Pelajar wanita 19 tahun ditemukan maut dalam bilik sewa, teman lelaki ditahan

SEORANG pelajar wanita berusia 19 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik sewa di Kuantan awal pagi ini, dipercayai selepas berlaku perselisihan faham dengan teman lelakinya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.32 pagi daripada seorang lelaki yang mendakwa berlaku pergaduhan antara dia dan teman wanitanya.

Menurutnya, lelaki berusia 19 tahun itu yang dipercayai teman lelaki mangsa sendiri menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

“Setibanya polis di lokasi, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas katil di sebuah bilik sewa di tingkat bawah rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, pemeriksaan oleh Pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) mendapati terdapat kesan tekanan pada bahagian leher mangsa sebelum mengesahkan kematiannya.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai tercetus susulan perselisihan faham antara mangsa dan lelaki terbabit.

Susulan itu, lelaki berkenaan ditahan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan dan perintah reman selama tujuh hari diperoleh bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik HTAA untuk proses bedah siasat.

Ashari turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian.

Katanya, tindakan berkenaan dikhuatiri boleh mengganggu atau menjejaskan siasatan polis yang masih dijalankan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here