SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Satu ditemui terbaring parah berhampiran tangga Blok E sebuah sekolah di daerah Kulim, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang apabila pelajar berusia 13 tahun itu ditemukan di aras bawah berhampiran tangga bangunan berkenaan.
“Kejadian disedari seorang guru yang memaklumkan guru penolong kanan sesi petang sebelum menghubungi polis.
“Guru itu memaklumkan pelajar masih sedarkan diri dan boleh bercakap semasa ditemui sebelum dihantar ke Hospital Kulim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis turut merakam percakapan beberapa individu termasuk saksi bagi mendapatkan maklumat sebenar berhubung kejadian.
Menurutnya, hasil temu bual pegawai penyiasat sebelum ini mendapati mangsa mengaku mengalami tekanan susulan peperiksaan yang akan berlangsung minggu hadapan.
“Rakaman percakapan selanjutnya akan dilakukan apabila keadaan kesihatan mangsa mengizinkan bagi memperincikan kejadian.
“Selain itu, kita juga akan mendapatkan laporan perubatan lengkap berhubung kecederaan dan keadaan terkini mangsa,” katanya.
Syamsul berkata, kejadian disedari selepas pengadu menerima panggilan telefon ketika sedang mengajar sebelum pergi ke lokasi dan mendapati mangsa terbaring di atas lantai berhampiran tangga Blok E.
Katanya, temu bual dengan seorang pelajar perempuan mendapati saksi melihat hantaran media sosial mangsa yang menyatakan dia mengalami tekanan, namun mesej berkenaan dipercayai telah dipadam.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kedua-dua kaki patah dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Kulim.





