PELAKON dan model Indonesia, Samudera Hurley Taylor, 24, didenda RM2,300 oleh Mahkamah Majistret Sepang selepas mengaku bersalah mengambil dadah untuk kegunaan sendiri.
Majistret Khairatul Animah Jelani menjatuhkan hukuman itu selepas ujian patologi mendapati sampel air kencing tertuduh positif dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 5.40 petang, 28 Julai lalu di tandas Pusat Pengurusan Lapangan Terbang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pada prosiding 9 September lalu, mahkamah turut memerintahkan Samudera menjalani hukuman penjara selama empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguamnya, Shah Wira Abdul Halim berkata, Samudera membayar denda berkenaan pada 9 September dan sudah kembali ke Indonesia selepas prosiding selesai.
Katanya, Samudera dikehendaki kekal di Malaysia sementara menunggu laporan patologi selepas pertama kali didakwa.
“Dia mahu segera pulang ke Indonesia untuk bertemu ibunya yang sedang menjalani rawatan kanser.
“Selepas beberapa isu imigresen diselesaikan, dia dibenarkan pulang,” katanya, lapor Harian Metro.
Samudera sebelum ini turut didenda RM500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan berkaitan pertengkaran dengan kakitangan syarikat penerbangan dan pegawai polis bantuan di KLIA.
Dia didenda RM400 kerana gagal mematuhi arahan sah yang diberikan pegawai polis bantuan dan RM100 kerana menyebabkan gangguan awam.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan antara jam 7.20 malam hingga 8.12 malam, 27 Julai lalu di Pintu 4, KLIA Terminal 1.





