Pemain  Afrika Selatan di Piala Dunia ditemukan meninggal dunia

JAYDEN Adams pemain tengah Mamelodi Sundowns dan skuad kebangsaan Afrika Selatan, dilaporkan meninggal dunia pada usia 25 tahun, hanya beberapa minggu selepas beraksi di Piala Dunia FIFA 2026.

Berita itu disahkan oleh Kementerian Sukan Afrika Selatan dan turut diumumkan oleh Kesatuan Pemain Bola Sepak Afrika Selatan (SAFPU).

Adams memulakan dua perlawanan pertama Afrika Selatan di peringkat kumpulan menentang Mexico dan Republik Czech, sebelum tampil sebagai pemain gantian ketika kemenangan ke atas Korea Selatan yang membawa negara itu ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah.

Menurut laporan, Adams ditemui meninggal dunia di kawasan Cape Town. Bagaimanapun, punca kematiannya masih belum diumumkan secara rasmi dan polis telah membuka siasatan. Pihak berkuasa serta keluarga meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

Dalam kenyataannya, SAFPU berkata:

“Jayden baru sahaja mewakili Afrika Selatan di Piala Dunia FIFA 2026, membawa harapan negara dengan penuh kebanggaan, keberanian dan kecemerlangan. Pemergiannya merupakan kehilangan yang amat besar kepada keluarga, rakan sepasukan, kelab, komuniti bola sepak dan seluruh negara.”

Adams memulakan karier profesional bersama Stellenbosch FC sebelum menyertai Mamelodi Sundowns pada Januari 2025. Beliau membantu kelab itu menjulang Liga Juara-Juara Afrika musim 2025/26 dan telah mengumpul 13 penampilan bersama skuad kebangsaan, termasuk menjaringkan dua gol dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026.

Kurang 24 jam sebelum berita kematiannya tersebar, Adams dilaporkan memuat naik semula gambar bersama teman wanitanya di Instagram. Sebelum aksi pertama Piala Dunia menentang Mexico, teman wanitanya turut menitipkan mesej penuh emosi:

“Semoga berjaya di Piala Dunia, sayang. Saya sangat bangga dengan segala usaha yang telah membawa awak ke tahap ini. Nikmatilah setiap detik dan tunjukkan kepada dunia kemampuan sebenar awak. Apa pun yang berlaku, saya akan sentiasa menjadi penyokong terbesar awak. Saya cintakan awak dan tidak sabar untuk memberi sorakan kepada awak.”

Pemergian Jayden Adams turut menerima penghormatan daripada Presiden FIFA Gianni Infantino, Menteri Sukan Afrika Selatan Gayton McKenzie serta pelbagai tokoh bola sepak yang menyifatkan beliau sebagai antara bakat paling cerah yang pernah dimiliki Afrika Selatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img