TAKTIK licik seorang lelaki yang berpura-pura meminjam telefon bimbit pekerja restoran makanan segera akhirnya memakan diri apabila kini dikesan polis selepas tindakannya tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja sebuah premis makanan segera di pasar raya di Setia Alam, Ahad lalu.
Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek datang ke premis berkenaan dan bertanyakan beberapa soalan kononnya mahu membuat semakan pekerja di cawangan itu.
“Dalam masa sama, suspek menggunakan helah dengan meminjam telefon bimbit pengadu bagi tujuan membuat catatan.
“Namun sebaik telefon diserahkan, suspek terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 011-16621816 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di 03-55202222 bagi membantu siasatan,” katanya.


