Pemandu didakwa bunuh dua pelajar perempuan, cederakan dua yang lain

SEORANG pemandu didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas empat pertuduhan termasuk membunuh dua pelajar perempuan dalam satu kemalangan di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan pada Ahad lalu.

Tertuduh, Alex Robert, 28, didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala dua lagi pertuduhan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki terbabit hanya mengangguk faham selepas dua pertuduhan di bawah Seksyen 302  dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa membunuh Nur Dania Arissa Salim di lokasi itu kira-kira jam 6.35 petang pada 26 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa membunuh Nur Atikah Abdullah di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani bersama Izzudin Fakri Hamdan dan Nur Darwis Aghniya Halim Azizi memohon satu tarikh sebutan baharu bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat kedua-dua mangsa, laporan toksikologi tertuduh serta laporan berkaitan sebelum pertuduhan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan turut memohon agar tiada jaminan diberikan kepada tertuduh selaras dengan peruntukan undang-undang.

Peguam Koh Shean Wai, memaklumkan pihak pembelaan tidak membantah permohonan itu.

Bagi dua lagi pertuduhan, Alex didakwa memandu sebuah Honda Civic di bawah pengaruh dadah sehingga hilang kawalan dan menyebabkan kecederaan kepada seorang pejalan kaki, Adam Arjuna Abdullah di Jalan Padang Tembak, pada masa dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian yang sewajarnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada Suresh Ayaroo di tempat dan waktu yang sama, mengikut Seksyen 43(1) Akta yang sama.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 11 September depan sebagai tarikh sebutan semula bagi kesemua pertuduhan itu.

Memetik laporan media, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun kerana disyaki memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kemalangan yang mengorbankan dua remaja perempuan pada 26 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian dilaporkan berkata, kejadian melibatkan sebuah motosikal dan dua kereta di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu suspek hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum melanggar sebuah motosikal, sebuah lagi kereta di hadapan serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img