POLIS menahan seorang pemandu e-hailing bagi membantu siasatan kes cabul seorang pelanggan wanita dalam kenderaan berhadapan sebuah hotel di Sepang minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 16 Julai lalu.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa berusia 20-an itu menempah perkhidmatan e-hailing untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang.
“Dalam perjalanan, suspek dipercayai meminta mangsa duduk di tempat duduk hadapan sebelum bertindak menyentuh paha kanan mangsa sebanyak dua kali tanpa kerelaannya.
“Mangsa kemudian bertindak keluar dari kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti suspek iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan mengambil keterangannya bagi membantu siasatan.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. Siasatan sudah dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya bagi arahan selanjutnya,” katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.





