SEMUA ahli dan penyokong Perikatan Nasional (PN) diarahkan mengundi calon Barisan Nasional (BN) di 25 kerusi tidak ditandingi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata semua ahli parti komponen PN perlu mematuhi arahan pucuk pimpinan bagi memastikan kerjasama BN-PN berjaya memenangi PRN dan seterusnya membentuk kerajaan Negeri Sembilan.
“Ahli Pas dan semua ahli parti komponen PN perlu terikat dengan arahan kita,” katanya di Gemencheh malam tadi.
Kenyataan Takiyuddin itu selari dengan langkah BN yang melalui Pengerusinya Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamdi mengarahkan ahli dan penyokong gabungan itu mengundi calon PN di Negeri Sembilan, sambil menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai suatu realiti politik.
Ketika berucap pada ceramah itu, Takiyuddin turut mengarahkan semua ahli parti berkenaan di Parlimen Tampin mengundi calon BN dan PN di tiga kerusi terbabit, termasuk calon MCA.
“Saya sebagai Setiausaha Agung Pas menyeru semua ahli Pas di Parlimen Tampin supaya keluar menyokong calon BN Suhaimizan Bizar di Gemencheh dan calon PN Ridzuan Ahmad di Gemas.
“Jangan lupa calon MCA, Koh Kim Swee, di Repah. Kita mahu menumbangkan PH. Ini arahan saya sebagai Setiausaha Agung Pas. Ahli PAS wajib keluar mengundi seperti kita diarahkan di Johor untuk menentang calon PH dan memenangkan calon BN, tidak kira daripada UMNO, MCA atau MIC,” katanya.






