SEORANG pemandu lori warga Indonesia yang tidak memiliki lesen memandu ditahan selepas didapati membawa muatan tanah merah melebihi had ketika melalui Persiaran Mokhtar Dahari, Shah Alam, semalam
Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA).
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pemeriksaan mendapati lori jenis tipper dipandu lelaki itu membawa muatan tanah merah melebihi 80 peratus daripada had muatan yang dibenarkan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati lori berkenaan dalam perjalanan ke Kapar, Klang.
“Pemandu tersebut mendakwa tindakannya membawa muatan berlebihan dibuat atas sebab arahan dan tekanan majikan demi mengaut keuntungan tinggi.
“Selain itu, pemandu itu mengejar trip dengan memaksimumkan jumlah perjalanan serta menjimatkan kos operasi syarikat memandangkan muatan berlebihan dalam satu perjalanan membolehkan hasil keuntungan diperoleh menyamai dua kali perjalanan biasa,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, pemandu terbabit turut mendakwa upahnya dibayar berdasarkan jumlah perjalanan yang diselesaikan, bukannya gaji tetap.
Semakan lanjut mendapati lelaki itu tidak memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Vokasional (GDL).
Ahmad Kamarunzaman berkata, tindakan diambil mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, manakala lori berkenaan turut disita.
Katanya, JPJ Selangor akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan semua kenderaan mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
Sehubungan itu, orang awam boleh menyalurkan aduan kesalahan lalu lintas menerusi e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-Aduan dengan menyertakan butiran pengadu dan aduan.





