Pemandu lori maut, penumpang cedera bertembung lori balak

SEORANG pemandu lori maut manakala penumpangnya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori balak di Kilometer 149, Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Muadzam Shah di Rompin petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu, mangsa, Kila Amin, 66, dari Kampung Buluh Nipis, Muadzam Shah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, penumpang lori berkenaan, Muhammad Hoi Abdullah, 79, mengalami kecederaan di kepala.

Menurutnya, pemandu lori balak, Aswadi Faizal Yahaya, 51, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Daihatsu yang dipandu mangsa tanpa muatan sedang dalam perjalanan dari arah Segamat menuju ke Muadzam Shah, manakala lori balak membawa muatan bergerak dari arah bertentangan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, lori yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan lalu melanggar bahagian kanan lori balak yang sedang bergerak.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat,” katanya, lapor Sinar Harian

Beliau berkata, penumpang yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, punca kemalangan masih dalam siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here