Pemandu treler didakwa pandu berbahaya hingga sebabkan kematian wanita

SEORANG pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Machang hari ini atas dua pertuduhan, termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita dan memiliki bahan disyaki mengandungi ketum.

Wan Baderun Shah Wan Said, 48, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu lori secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Nur Hidayah Mat Yaacob, 27, di Kilometer 4.7 Jalan Machang-Tanah Merah, kira-kira jam 2.25 pagi pada 19 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki empat bungkusan plastik mengandungi kira-kira empat liter bahan yang disyaki mengandungi racun jenis mitragynine di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, Kampung Kweng Hitam, kira-kira jam 10.45 malam Isnin lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta sama, yang memperuntukkan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farazalila Fauzi, lapor Buletin TV3.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon jaminan RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan. Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jumlah lebih rendah dengan alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan tiga anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan wang jaminan itu telah dibayar.

Mahkamah turut menetapkan 7 November ini untuk sebutan semula kes serta memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here