PEMANDU treler yang terbabit dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Udini Underpass, bulan lalu, didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Georgetown hari ini selepas mengaku bersalah memandu secara cuai.
Tertuduh, Bernice Thiviaraaj David Santhanasamy, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaan tanpa kecermatan dan perhatian ketika menggunakan jalan berkenaan sehingga melakukan kesalahan itu di Udini Underpass dalam daerah Timur Laut Georgetown pada jam 6.35 pagi, 15 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Inspektor Joshua Peter Kandiah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman denda minimum memandangkan tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Mahkamah dimaklumkan tertuduh yang menanggung isteri serta seorang anak berusia enam bulan kini tidak mempunyai pekerjaan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau penjara enam bulan jika gagal menjelaskan bayaran berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan kemalangan di lokasi berkenaan membabitkan lima kenderaan iaitu treler, van persiaran, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan dua kereta.
Tiga kenderaan iaitu treler, van persiaran dan Proton S70 dilaporkan terbakar selepas kemalangan itu.





