SEORANG pemandu treler maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandu dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan di Kilometer 31.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dari Sedenak ke Kulai pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, kemalangan berlaku berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Kulai membabitkan sebuah lori kontena, sebuah treler membawa muatan besi pagar, pacuan empat roda, van, lori 10 tan yang membawa jubin serta sebuah lori bonded satu tan.
Beliau berkata dalam kejadian itu, beberapa kenderaan turut terbakar hingga mengakibatkan laluan berkenaan tersekat beberapa jam.
“Bomba menerima panggilan jam 9.02 pagi, namun jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai sampai ke lokasi kejadian terletak pada jarak 25 kilometer pada jam 10.03 pagi berikutan kesesakan laluan.
“Dalam kejadian itu, empat kenderaan terbakar, termasuk pacuan empat roda manakala van turut mengalami kemusnahan pada tahap yang sama.
“Dua lagi kenderaan iaitu treler yang membawa muatan besi pagar pula terbakar kira-kira 80 peratus, sementara lori 10 tan Nissan dan lori bonded satu tan masing-masing terbakar 60 peratus dan tidak mengalami kerosakan besar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian mengakibatkan pemandu treler iaitu seorang lelaki berusia 30-an maut di lokasi kejadian.
“Mangsa maut selepas tercampak dari kenderaan berat itu, empat mangsa lain membabitkan pemandu pacuan empat roda berusia 29 tahun, dua lelaki berusia 32 dan 29 tahun yang berada dalam van serta seorang lelaki berusia 34 tahun yang memandu lori bonded dilaporkan selamat.
Beliau berkata, mayat pemandu treler yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Kemalangan mengakibatkan aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan ‘lumpuh’ selama beberapa jam.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi suatu perkongsiannya menyatakan, suatu lencongan mandatori (mandatory exit) dilaksanakan serta-merta di Plaza Tol Sedenak bagi mengurangkan kepadatan kenderaan yang terperangkap.
Menurutnya, kesemua lorong menuju ke arah selatan dilaporkan terhalang seketika manakala arah utara pula, lorong kanan turut terhalang dan hanya lorong kiri yang boleh dilalui.
Sisa muatan yang dibawa lori berkenaan turut bertaburan di atas lebuh raya hingga menimbulkan kesulitan kepada pihak berkuasa ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran.






