LELAKI yang dipercayai memukul bekas isterinya dalam kejadian di parkir awam di luar Balai Polis Bandar Baru Bangi, Kajang direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, perintah reman itu dikeluarkan selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi.
“Suspek direman selama tiga hari dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya ringkas dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, rakaman kejadian memaparkan seorang wanita dipukul di kawasan parkir awam di luar Balai Polis Bandar Baru Bangi tular di media sosial sebelum polis menjalankan siasatan.
Naazron dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 2.51 petang kelmarin, malah mengesan satu rakaman video yang tular di Threads dipercayai berkaitan insiden.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja melakukan cedera dan ugutan yang mendatangkan ketakutan.






