PEMANDU treler yang terlibat dalam kemalangan maut sehingga meragut tiga nyawa termasuk pasangan suami isteri akan didakwa di Mahkamah Majistret Segamat, hari ini.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, suspek berusia 29 tahun itu akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, arahan pertuduhan diperoleh daripada pihak Pendakwaan Negeri Johor (PPN) yang memutuskan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan bukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Tempoh reman empat hari yang dikenakan terhadap suspek berakhir semalam, namun Mahkamah Majistret membenarkan sambungan reman selama dua hari lagi bermula semalam,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.
Beliau berkata, suspek turut akan berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas pihaknya menerima laporan patologi.
“Suspek disahkan positif dadah selepas ujian saringan air kencing dijalankan sejurus kemalangan berlaku,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Khamis lalu, tiga sekeluarga maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 210, Jalan Johor Bahru–Seremban berhampiran Simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru.
Mangsa yang maut ialah K Myakrishnan, 71, isterinya S Sevendai, 65, serta abangnya Palamiandy, 75.
Dua lagi cucu mangsa, P Hariharam, 22, dan P Suguya, 18, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Segamat.
Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 200 meter dari rumah mangsa ketika keluarga terbabit dalam perjalanan pulang selepas mengunjungi saudara di Batu Anam.


