SEORANG wanita berusia 21 tahun maut selepas kereta dipandunya terbabas lalu terjunam ke dalam sungai dan dihanyutkan sejauh 500 meter di Kilometer 25, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam di Kulai awal pagi tadi.
Kenderaan berkenaan dipercayai terjunam selepas merempuh paip air utama yang berada di bahu jalan sebelum terbabas masuk ke dalam sungai.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 2.49 pagi.
“Mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya, lapor BH.
Difahamkan, mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai menuju ke Skudai.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor memaklumkan tujuh anggota digerakkan ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai kejadian.
Menurutnya, pasukan penyelamat mendapati kenderaan itu berada kira-kira tiga meter di dalam air dan telah dihanyutkan sejauh lebih kurang 500 meter dari lokasi asal ia terjunam.
“Pasukan penyelamat mengikat kenderaan pada sebatang pokok sebelum mangsa dikesan dan dikeluarkan menggunakan peralatan khas,” katanya.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





