HASRAT seorang nenek menghantar cucunya ke sekolah bertukar tragedi apabila kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu maut dalam kemalangan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29, Kilometer 50 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu di Setiu awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa, Putri Jannatul Arisha Abdullah dari Kampung Langkap, Permaisuri disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, motosikal yang dinaiki mangsa dan neneknya dalam perjalanan ke sekolah sebelum terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Proton Waja.
Menurutnya, motosikal berkenaan keluar dari simpang Langkap untuk memasuki jalan utama sebelum penunggang membelok ke kanan menuju ke simpang sekolah.
“Pada masa sama Proton Waja dari arah Kuala Terengganu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan motosikal, menyebabkan penunggang dan pembonceng terjatuh.
“Penunggang motosikal parah pada kepala dan dibawa ke Hospital Setiu untuk rawatan, manakala pembonceng meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya, lapor BH.
Mangsa yang juga murid tahun dua disahkan maut di tempat kejadian, manakala neneknya yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Setiu untuk menerima rawatan.
Zahril Asri berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





