PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman di Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru hari ini.
Pertemuan itu turut memberi ruang kepada Abd Halim menyampaikan sembah taklimat mengenai perkembangan terkini agensi serta langkah yang sedang dilaksanakan bagi memperkukuh usaha pencegahan rasuah.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, antara perkara yang menjadi tumpuan perbincangan adalah pengukuhan integriti dan tadbir urus, selain usaha menangani isu rasuah bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan.
“Datuk Seri Abd Halim turut menyentuh mengenai peranan SPRM dalam memastikan usaha pencegahan rasuah terus diperkasakan selaras dengan keperluan semasa,” kata kenyataan itu.
Beliau kemudian menzahirkan setinggi-tinggi junjung kasih kepada Tunku Mahkota Ismail atas perkenan menerima menghadap serta kesudian baginda mendengar sembah taklimat berhubung perkembangan dan inisiatif SPRM.





