MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh membidas tindakan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim yang didakwanya mempolitikkan isu tanah perkuburan Islam di Semenyih, Selangor.
Hannah berkata, isu tanah perkuburan tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia adalah satu keperluan dan kewajipan kerajaan terhadap rakyat.
“Di Kuala Lumpur, kita tak cukup tanah perkuburan Islam untuk menampung kapasiti pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Krematorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Cheras, Kuala Lumpur hari ini.
Menjelas mengenai perkara itu, beliau berkata, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Kabinet membuat perancangan untuk mendapatkan tanah tambahan di Semenyih untuk dijadikan kawasan tanah perkuburan.
“Tanah perkuburan Islam ini berkait dengan proses membina satu jalan yang akan menyelesaikan masalah trafik yang sangat serius di Semenyih sekarang.
“Selepas tanah perkuburan itu sudah disediakan, ia akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) (untuk dikendalikan),” katanya.
Beliau menambah, keputusan mendapatkan tanah perkuburan Islam bagi warga Kuala Lumpur di Semenyih itu adalah keputusan Kabinet.
“Saya mahu beritahu Gulam yang membangkitkan isu ini bahawa ini adalah keputusan Kabinet. Gulam daripada UMNO dan menteri-menteri UMNO ada dalam Kabinet.
“Daripada tanya saya dan mempolitikkan isu ini yang dikaitkan dengan Cina dan DAP, adalah lebih baik beliau tanya menteri UMNO dalam Kabinet,” katanya.
Dalam isu tanah perkuburan, sama ada Islam atau bukan Islam, katanya, ia tidak perlu dipolitikkan.
“Saya tahu ketika ini sedang berlangsung PRN (Pilihan Raya Negeri Johor), jadi isu-isu seperti ini dimainkan sehingga tanah perkuburan pun dijadikan isu kerana menteri Cina.
“Ini semua tidak perlu dan harus dihentikan. Ketika ini, kita sedang nak jaga rakyat tanpa mengira agama Islam mahupun bukan Islam. Keperluan hidup dan mati, semua kita akan jaga.
“Terdapat pelbagai reformasi dan program kerajaan sedang kita lakukan untuk bantu rakyat termasuk di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut Hannah, beliau menerusi Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fazli Mohd Yadi akan membuat laporan polis terhadap Chegubard dan Gulam Muszaffar berhubung dakwaan itu hari ini.
Terdahulu, Chegubard dan Ghulam Muszaffar masing-masing mengeluarkan kenyataan di media sosial masing-masing mengenai isu tanah perkuburan Islam di Semenyih.
Chegubard mendakwa sebuah syarikat mengurus pengebumian bukan Islam mendapat hak bersama JWP untuk perjanjian urus tapak perkuburan Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Gulam Muszaffar mendakwa projek tanah perkuburan berkenaan akan diswastakan kepada syarikat luar yang didakwa mengakibatkan peningkatan kos pengebumian.






