PERSIAPAN operasi pembenihan awan khususnya di Sarawak masih tertakluk kepada keputusan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Menteri Sumber Asli, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Beliau berkata, operasi pembenihan awan hanya boleh dilaksanakan berdasarkan keadaan dan kesesuaian kelompok awan yang dikesan MetMalaysia.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pemantauan ketika ini mendapati kelompok awan yang ada tidak sesuai untuk operasi berkenaan.
“Kelompok awan yang dikesan tidak sesuai, memaksa awan berada di Laut China Selatan. Kalau buat, hujan tidak akan turun di kawasan diperlukan. Operasi tertakluk kepada pandangan di MetMalaysia,” katanya dalam sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, operasi pembenihan awan akan dilaksanakan di Sarawak, selain Kedah dan Perlis.
Ia dijadualkan bermula 3 hingga 5 September ini, susulan jerebu yang semakin teruk di negeri berkenaan.





