SEORANG pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada Jun lalu.
Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja berusia 14 tahun 10 bulan berkenaan di sebuah rumah di Jalan Tiong, Taman Kangar di Kangar pada 17 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan diperintah supaya tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan hingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan laporan media, tertuduh yang dikenali sebagai Iman Rizq sebelum ini turut didakwa atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap dua remaja perempuan berusia 15 dan 16 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bulan lalu.






