Berjasa letak calon tunggal di DUN Nilai

PARTI Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi memberi pilihan kepada pengundi Melayu Islam di kawasan itu.

Presidennya, Zamani Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mengikuti perkembangan pengumuman calon oleh parti yang bertanding dan mengambil kira hasil kajian dalaman.

Katanya, kajian sebelum ini mendapati antara faktor menyumbang kepada peratusan keluar mengundi rendah dalam kalangan pengundi Melayu ialah ketiadaan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

“Berjasa hadir mendengar dan memahami isi hati serta hasrat pengundi Melayu Islam di Negeri Sembilan dalam suasana politik tanah air yang penuh cabaran kini.

“Atas dasar prinsip dan bagi memeriahkan sistem demokrasi negara, Berjasa memutuskan bertanding di DUN Nilai bagi menawarkan calon Muslim yang disifatkan berwibawa kepada pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, DUN Nilai dipilih kerana menjadi antara kawasan permulaan yang sesuai untuk meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

Katanya, senario semasa yang menyaksikan semua calon parti lain dalam golongan bukan Melayu diumumkan bertanding di DUN Nilai turut menjadi pertimbangan kepada keputusan berkenaan.

“Berjasa kekal komited terhadap agenda penyatuan Melayu dan tidak meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu yang sudah mempunyai calon Melayu daripada Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan),” katanya.

Kerusi DUN Nilai disandang J Arul Kumar daripada Pakatan Harapan (DAP) yang menang dengan majoriti 10,889 undi pada PRN Negeri Sembilan 2023.

Exco kerajaan negeri itu menewaskan pencabar daripada Perikatan Nasional (PN), Gan Chee Biow yang memperoleh 8,244 undi.

Bagi PRN kali ini, Arul Kumar akan mempertahankan kerusi itu, manakala BN meletakkan calon MCA iaitu Lai Chien Kong.

Sebelum ini, Zamani berkata, parti pimpinannya berhasrat bertanding lapan kerusi dan sedia bekerjasama dengan Pas dalam PN, namun selepas pengumuman calon dibuat malam tadi, tiada calon daripada Berjasa diumumkan.

Sebanyak 11 kerusi DUN ditandingi PN hanya membabitkan Pas (lima kerusi), Wawasan (empat kerusi) dan masing-masing satu kerusi untuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img