SEORANG penceramah motivasi disambung reman selama dua hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung satu laporan baharu membabitkan kes gangguan seksual.
Perintah tahanan reman sehingga esok itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Kompleks Mahkamah Kangar hari ini, lapor Harian Metro.
Terdahulu, suspek yang memakai baju hitam tiba di pekarangan kompleks mahkamah berkenaan pada jam 8.26 pagi, sebelum dilihat meninggalkan bangunan itu dengan menaiki van polis pada jam 10.11 pagi.
Siasatan bagi kes terbaharu ini dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Perintah reman baharu itu susulan tindakan polis menahan semula lelaki terbabit petang semalam, susulan satu laporan yang dibuat oleh seorang remaja perempuan berusia 19 tahun.
Sebelum ini, media melaporkan pendedahan mengejutkan beberapa mangsa wanita di media sosial yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan manipulasi oleh penceramah itu.
Modus operandi penceramah berkenaan didakwa dengan mendekati mangsa melalui aplikasi TikTok atas alasan urusan kerja atau pelajaran, sebelum bertindak berani mengajak mangsa menjadi ‘sugar baby’ dan mendaftar masuk ke hotel.





