POLIS Perlis menerima laporan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang kanak-kanak yang dikaitkan dengan seorang penceramah motivasi, pada 26 September lalu.
Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima pada jam 2.09 pagi dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan berkenaan, polis turut menggesa mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan penceramah motivasi berkenaan supaya tampil memberikan keterangan.
Media hari ini melaporkan, seorang penceramah bebas yang juga pakar motivasi didakwa mengambil kesempatan mendekati wanita muda menerusi media sosial sebelum mengajak mereka menjadi ‘sugar baby’ dan melakukan perbuatan tidak senonoh.
Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Sofia, 19, berkata, perkenalannya dengan lelaki berstatus suami orang itu bermula selepas penceramah terbabit menonton siaran langsung TikTok miliknya sebelum mereka berbalas mesej menerusi WhatsApp.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek sebelum ini mengarahkan semua program membabitkan seorang penceramah motivasi yang didakwa berkelakuan tidak senonoh ketika bersama murid di sekolah dihentikan serta-merta.
Hamzah dalam pada itu berkata, maklumat daripada individu lain yang mempunyai kaitan dengan kes terbabit dapat membantu polis melengkapkan siasatan.
Dalam perkembangan sama, polis meminta seorang individu yang dinamakan sebagai “Farhaan Rahmat” hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bagi memberikan kerjasama dan keterangan berhubung kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sharifah Nur Fasihah Syed Sofian di talian 04-949 0824 atau 019-815 1602.





