MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan seorang pengamal perubatan tradisional daripada tuduhan membunuh seorang wanita berusia 41 tahun yang mendapatkan rawatan daripadanya pada 2022.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati tertuduh wanita itu tidak siuman ketika kejadian berlaku.
Pesuruhjaya Kehakiman Suriyati Hasimah Mohd Hashim pada akhir kes pembelaan, mendapati Che Hong Chiew, 55, menghidap penyakit skizofrenia dan tidak memahami sifat serta akibat daripada tindakannya.
Suriyati memerintahkan Hong Chiew ditahan di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak mengikut perkenan Sultan Selangor, lapor Harian Metro.
Hong Chiew dituduh membunuh Lim Sin Hue, 41, di sebuah rumah di Pandan Perdana, Ampang antara jam 4.45 petang dan 5 petang pada 27 Julai 2022.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Berdasarkan fakta kes, Sin Hue yang mengalami sakit perut dan percaya terdapat bayi di dalam perutnya pergi ke rumah Hong Chiew selepas diperkenalkan oleh seorang rakan untuk menjalani ritual selama seminggu.
Ibu Sin Hue memberi keterangan bahawa dia melihat Hong Chiew meniarap di atas anaknya, menumbuk dada, memijak perut dan meletakkan mangkuk yang panas dan berasap di atas leher serta mulut mangsa sambil membaca mantera.
Rawatan itu diulang menyebabkan Sin Hue tidak dapat menjerit atau bergerak, namun Hong Chiew memberi amaran kepada si ibu agar tidak masuk campur.
Kira-kira jam 5 petang hari berkenaan, Hong Chiew memberitahu ibu Sin Hue bahawa anaknya telah meninggal dunia.
Keputusan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat trauma daya tumpul.
Si mati mengalami pelbagai kesan lecet dan lebam pada bahagian muka, dada, abdomen serta anggota badan atas dan bawah, selain beberapa tulang rusuk yang patah.
Pihak pembelaan berhujah bahawa Hong Chiew, seorang jurusolek bebas dan ibu kepada dua anak, mengalami tekanan emosi yang teruk selepas anak bongsunya meninggal dunia dalam satu kemalangan.
Dia kemudian bercerai pada tahun 2018 dan mula memencilkan diri.
Pakar psikiatri, Dr Isabel Shamini David mendiagnosis Hong Chiew menghidap skizofrenia dan mendapati dia tidak siuman semasa kejadian berlaku serta tidak menyedari sifat dan akibat daripada tindakannya, namun keadaannya boleh dikawal dengan ubat-ubatan dan rawatan.
Dalam alasan penghakimannya, Suriyati berkata, keterangan secara langsung dan berdasarkan keadaan membuktikan bahawa kematian mangsa berpunca daripada tindakan tertuduh ketika menjalankan ritual dan rawatan itu.
“Mahkamah ini mendapati keadaan mental tertuduh pada masa kejadian adalah tidak stabil. Dia tidak memahami bahawa tindakannya adalah salah dan boleh menyebabkan kematian mangsa.
“Keadaan mentalnya yang tidak stabil telah berlarutan dalam tempoh yang panjang, berpunca daripada kematian anak bongsunya yang menyebabkan kemurungan dan menyisihkan diri daripada masyarakat, selain diburukkan lagi dengan perceraian,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Ainul Mardiyah Mohd Ali mengendalikan pendakwaan manakala peguam Datuk Geethan Ram Vincent dan Jeremiah Anand mewakili Hong Chiew.





