KETIDAKWARASAN mental akan menjadi menjadi sandaran pembelaan seorang tertuduh juvana yang diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Bandar Utama tahun lalu.
Peguamnya remaja terbabit, Kitson Foong berkata, pihak pembelaan mengemukakan Seksyen 84 Kanun Keseksaan berkaitan ketidakwarasan mental dengan memanggil pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony sebagai saksi akhir.
Menurut Foong, berdasarkan keterangan Dr Ian, remaja terbabit dikatakan mengalami penyakit mental selama lima tahun tanpa rawatan.
Beliau menjelaskan, Seksyen 84 memperuntukkan bahawa seseorang tidak boleh dianggap melakukan kesalahan jika ketika kejadian berlaku, keadaan mentalnya menyebabkan dia tidak mampu memahami perbuatannya atau mengetahui bahawa perbuatan itu salah atau bertentangan dengan undang-undang.
“Doktor memberi pendapat kepakarannya di bawah Seksyen 45 Akta Keterangan 1950 dan menerangkan perkara berkaitan psikosis, schizophrenia serta pelbagai istilah perubatan psikiatri.
“Menurut doktor keadaan yang dialami remaja itu telah berlaku selama lima tahun sedangkan kebiasaannya seseorang yang mempunyai penyakit mental perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Terdahulu, Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja lelaki berusia 15 tahun itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Remaja terbabit didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di tandas perempuan sebuah sekolah menengah di Bandar Utama antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Foong dalam pada itu berkata, berdasarkan keterangan pakar, tempoh lima tahun itu jauh melebihi tempoh rawatan yang disebut doktor iaitu kira-kira 28 bulan.
Katanya, ketiadaan rawatan dalam tempoh berkenaan didakwa menyebabkan keadaan penyakit mental remaja terbabit menjadi serius.
Bagaimanapun, Foong tidak mendedahkan diagnosis khusus yang diberikan kepada anak guamnya ketika keterangan pakar masih berlangsung.
Terdahulu, beliau berkata, remaja terbabit memilih untuk memberikan kenyataan tidak bersumpah secara ringkas sebelum pihak pembelaan meneruskan hujahan pembukaan.
Malah kata Foong, remaja berkenaan turut menyatakan permohonan maaf semasa memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.





