SEORANG bekas pelajar sekolah menengah dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini daripada pertuduhan merogol secara berkumpulan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, dua tahun lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Keputusan itu dibuat Majistret Don Stiwin Malanjum yang memutuskan pihak pendakwaan tidak mengemukakan bukti mencukupi untuk memanggil tertuduh membela diri.
Ketika membacakan penghakiman, beliau berkata, kes pendakwaan hanya bergantung kepada keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence) tanpa sebarang bukti langsung yang mengaitkan tertuduh dengan pertuduhan.
Menurutnya, laporan perubatan mangsa juga gagal mengesahkan identiti pelaku selain terdapat beberapa percanggahan material antara keterangan mangsa di mahkamah dengan laporan yang disediakan oleh Pusat Advokasi Kanak-Kanak (CAC).
“Mahkamah berpendapat adalah tidak selamat untuk memanggil tertuduh membela diri.
“Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pindaan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika kejadian berusia 17 tahun didakwa bersama seorang lagi individu yang masih bebas merogol secara berkumpulan mangsa berusia 15 tahun di sebuah kediaman di sini kira-kira jam 1 pagi pada 13 Jun 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wildan Firdaus Ahmad Fazly, manakala tertuduh diwakili peguam Kamaruddin Mohamad Chinke.
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, pemuda berkenaan meluahkan rasa syukur selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peguam yang mewakilinya dan berazam memulakan kehidupan baharu serta mencari pekerjaan bagi membantu keluarganya.






