SEORANG lelaki yang ditemukan maut di sebuah rumah jagaan di Tanjung Rambutan dipercayai diikat sebelum dipukul dan dipijak oleh beberapa penghuni lain bersama seorang penjaga dalam kejadian pada malam 3 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 54 tahun bertindak agresif dan mengganggu penghuni lain sebelum seorang penjaga mengarahkan mangsa diikat.
Menurutnya, beberapa penghuni bersama penjaga terbabit kemudian bertindak memukul serta memijak mangsa.
“Polis menerima maklumat berhubung kematian mangsa pada pukul 5.41 petang pada Selasa.
“Hasil bedah siasat oleh Pakar Perubatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Polis, hari ini, lapor Buletin TV3.
Mohd. Alwi berkata, mangsa merupakan salah seorang daripada 21 penghuni di pusat jagaan berkenaan dan ditempatkan di situ dengan persetujuan keluarganya.
Katanya, keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mendapatkan rekod perubatan mangsa daripada pusat jagaan tersebut.
Beliau berkata, semakan awal mendapati premis itu beroperasi sejak 2012 dan hanya mempunyai pendaftaran perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Tiada dokumen dikemukakan yang menunjukkan premis itu mempunyai lesen sah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atau kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Premis ini juga didapati tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.
Menurut beliau, polis sedang melengkapkan siasatan dari semua aspek termasuk merakam percakapan saksi serta bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan.
Media sebelum ini melaporkan, lima lelaki terdiri daripada seorang penjaga dan empat penghuni pusat jagaan berusia antara 35 hingga 55 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.





