BEKAS calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini didakwa bersama isterinya di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menyediakan perkhidmatan klinik tidak berdaftar, bulan lalu.
Selain pasangan Dr Azizul Hakim Mahdi, 35, dan Noor Ameera Rahmat, 35, masing-masing selaku pengarah syarikat, turut dituduh adalah syarikat milik mereka.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit didapati menyediakan suatu klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586].
Oleh itu, tertuduh melanggar peruntukan Seksyen 4(1) Akta 586 dan melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 5(1) Akta 586 yang boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(1)(b) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh selaku pengarah syarikat secara bersama-sama telah didapati menyediakan suatu klinik perubatan swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta 586.
Oleh itu, tertuduh melanggar peruntukan Seksyen 4(1) Akta 586 dan melakukan suatu kesalahan bawah Seksyen 5(2)(a) Akta 586 yang boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 5(2) (aa) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Kesalahan dilakukan di sebuah premis di Taman Bandar Senawang, Seremban kira-kira jam 11.30 pagi 8 Julai lalu.
Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Haslina Zamani memohon tarikh sebutan untuk serahan dokumen sebelum mahkamah menetapkan 17 September depan.
Kesemua tertuduh diwakili Peguam Muhammad Abdul Fateh Mohd Rahmat.
Pada PRN Negeri Sembilan 1 Ogos lalu, Dr Azizul Hakim memperoleh 7,032 undi, tewas kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memperoleh 19,050 undi dalam pertarungan satu lawan satu di kerusi DUN Rantau.






