Pengundi muda harus buat pilihan ikut fakta buka sentimen – Adam Adli

PENGUNDI muda di negeri ini diseru memanfaatkan kuasa mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dengan membuat pertimbangan berlandaskan maklumat serta fakta yang tepat.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Adam Adli Abd Halim berkata golongan itu tidak seharusnya terpengaruh dengan sentimen mahupun politik kebencian dalam membuat keputusan di peti undi pada 14 Nov ini.

Katanya, golongan berusia 18 hingga 39 tahun yang mewakili 47.34 peratus daripada keseluruhan 687,697 pemilih berdaftar di Melaka, berkuasa untuk mencorakkan masa depan pentadbiran negeri, sekali gus menuntut mereka memilih kepimpinan yang berintegriti.

“Sifat semula jadi kita apabila nak buat keputusan, selain daripada kita tanya pada akal, kita tanya kepada hati kita juga apa yang rasional dan apa yang membentuk emosi kita.

“Cari yang baik, jangan kita bersandarkan kepada politik kebencian,” katanya dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

Adam Adli berkata beliau melihat masa depan Melaka cerah selepas menyaksikan penglibatan aktif generasi muda negeri ini dalam proses demokrasi.

“Tanggungjawab ini sama sahaja tak kira usia muda atau tua, tetapi saya yakin orang muda dia ada kesegaran dan ada keberanian yang berbeza untuk menggapai perubahan.

“Jadi insya-Allah negeri ini cerah masa depannya kerana anak-anak muda di Melaka sangat berpartisipasi dalam proses-proses demokrasi. Jadi ini waktu untuk anda,” katanya.

Menyentuh mengenai pemilihan calon PKR pada PRN kali ini, Adam Adli berkata parti itu mengambil pendekatan lebih teliti dengan mempertaruhkan sebanyak tujuh muka baharu daripada keseluruhan 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Katanya, penelitian mendalam dibuat bagi memastikan calon-calon yang diletakkan benar-benar serasi dengan kawasan masing-masing serta mendapat sokongan padu jentera akar umbi, selain memberi ruang kepada kepimpinan muda.

“Contohnya Farzana Hayani Mohd Nasir (calon bagi DUN Kelebang). Dahulu (bertanding) di Sungai Rambai, itu bukan kampung halaman dia.

“Tetapi sekarang di Kelebang, itu memang tempat dia, memang pada peringkat awal lagi bekerja di situ, bergaul dengan masyarakat di situ, membesar di situ. Jadi itu satu bentuk penambahbaikan,” katanya.

Adam Adli berkata PKR menyasarkan memenangi beberapa kerusi yang telah dikenal pasti, selain meningkatkan jumlah undi yang diterima di semua kerusi yang ditandingi berbanding PRN Melaka 2021.

Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan trend pengundi bagi PRN kali ini yang dilihat lebih positif berbanding PRN sebelum ini yang menyaksikan peratusan keluar mengundi yang rendah, iaitu sebanyak 65.85 peratus.

“Kita (PKR) akan sentiasa sasarkan bahawa di kawasan yang kita berpotensi menang, kita harus usaha untuk menang. Di kawasan yang kita tahu bukan kawasan kuat kita… kita pastikan dari semasa ke semasa, kalau kata daripada 10 undi kita naikkan kepada 100 undi, 100 undi jadi 1,000 undi dan begitulah sampai kita berhasil menang,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16 manakala pengundian awal pada 10 Nov.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here