Seorang PATI ditahan semula, sembilan lagi masih diburu – Polis

POLIS berjaya menahan semula seorang daripada 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah, Kota Bharu, awal pagi tadi.

Lelaki terbabit ditahan di daerah Tanah Merah kira-kira tengah hari tadi, manakala usaha mengesan baki sembilan lagi PATI yang masih bebas sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan semula seorang PATI terbabit, namun enggan mengulas lanjut, lapor Buletin TV3.

Susulan kejadian itu, polis melancarkan operasi besar-besaran termasuk mengadakan sekatan jalan raya di beberapa lokasi strategik, terutama di kawasan berhampiran sempadan.

Tinjauan di Depot Tahanan Imigresen Tanah Merah pula mendapati kawalan keselamatan di lokasi berkenaan dipertingkatkan susulan insiden berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan polis Kelantan sedang mengesan 10 PATI yang melarikan diri dari depot berkenaan kira-kira jam 3 pagi tadi.

Kesemua mereka terdiri daripada tujuh warga Thailand dan masing-masing seorang warga Indonesia, Bangladesh serta etnik Rohingya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat sebelum ini berkata, pihaknya melancarkan Op Tutup di Tanah Merah dan daerah sekitar bagi mengesan kesemua PATI terbabit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah di talian 09-9556222 atau Balai Polis Tanah Merah di 09-9556223.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here