SEORANG peniaga sambilan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membunuh pembantu rumahnya yang juga warga negara India, dua minggu lalu.
Stevent Anthony, 31, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunissak Hassni.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh seorang wanita, Tamilarasi Kumar yang tidak dinyatakan usia, di suatu bangunan kediaman di Titiwangsa pada jam 4 hingga 10.55 pagi 24 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dihukum gantung, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Ainna Maryam Nor Azman sementara tertuduh diwakili peguam Carenjit Kaur dan Khairunissa Azzahrah Ghazalie dari Kelvin Sidhu Partners.
Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh dan mahkamah menetapkan 16 Disember depan untuk laporan bedah siasat dan laporan kimia.





