SEORANG penunggang basikal wanita parah apabila basikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori tangki sebelum kaki kirinya digilis di Kilometer 4.5, Jalan Seremban-Port Dickson di Port Dickson hari ini.
Kejadian berlaku jam 12 tengah hari ketika mangsa, wanita tempatan berusia 34 tahun menunggang basikal dari arah Port Dickson menghala ke Lukut.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai mengubah haluan dari susur kiri masuk ke lorong tengah.
“Tindakan itu menyebabkan pemandu lori, seorang lelaki berusia 55 tahun, tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi kanan basikal menyebabkan mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Maslan berkata, mangsa terjatuh di laluan kenderaan berat berkenaan sebelum kaki kirinya digilis tayar lori tangki terbabit.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah pada kaki kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Port Dickson.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Muhammad Faizal Md Yusof di talian 014-915 1936 atau mana-mana balai polis berhampiran.






