Penunggang motosikal maut digilis dua kereta, pemandu Myvi diburu

SEORANG penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah Perodua Myvi sebelum digilis dua kereta lain dalam kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 9.50 malam itu, mangsa berusia 30 tahun dikatakan sedang menunggang dari Kulai menghala ke Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, motosikal mangsa dirempuh Perodua Myvi di Kilometer 12.8 lebuh raya arah selatan.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan sebelum digilis sebuah Proton Persona dan Mercedes-Benz C200 yang berada di lorong sama di belakangnya.

“Proton Persona berkenaan dipandu seorang wanita berusia 37 tahun, manakala Mercedes-Benz C200 dipandu lelaki berusia 33 tahun.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah,” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua pemandu kereta yang menggilis mangsa tidak mengalami kecederaan.

Azrol berkata, polis kini sedang mengesan pemandu Perodua Myvi yang dipercayai melarikan diri selepas kemalangan itu bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-7432966.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here