Kemalangan jalan raya di Kelantan meningkat lima peratus

SEBANYAK 12,196 kes kemalangan jalan raya direkodkan di Kelantan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat lima peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 552 kes berbanding 11,644 kes yang direkodkan sepanjang Januari hingga Oktober 2025.

Katanya, peningkatan berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana setiap kemalangan membabitkan risiko kehilangan nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya.

“Sehubungan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sudah mempergiat usaha pencegahan melalui analisis data dan mengenal pasti lokasi kerap berlaku kemalangan atau blackspot,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini, lapor BH.

Menurutnya, kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu terus diperkukuh bagi mengenal pasti punca kemalangan serta menambah baik aspek keselamatan jalan raya.

Dari segi penguatkuasaan, sebanyak 122,174 saman dikeluarkan sehingga Oktober lalu berbanding 101,561 saman pada 2025, meningkat sebanyak 20,613 saman atau 20 peratus.

“Bagaimanapun, kejayaan penguatkuasaan bukan sekadar diukur melalui jumlah saman yang dikeluarkan, tetapi sejauh mana tindakan itu mampu meningkatkan pematuhan pengguna jalan raya dan mengurangkan kadar kemalangan.

“Saya mahu JSPT terus memberi tumpuan kepada lokasi berisiko, meningkatkan rondaan serta mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan lalu lintas yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

“Tugas pasukan trafik bukan sekadar mengeluarkan saman atau mengawal lalu lintas, tetapi lebih penting ialah menyelamatkan nyawa,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here