SEORANG penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Axia di Kilometer 2.6 Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) menghala ke Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.36 pagi itu, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu melalui Sistem NG999 pada jam 10.36 pagi.
“Siasatan awal mendapati sebuah Perodua Axia yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an sedang dalam perjalanan dari arah Subang menghala ke Taman Medan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta itu telah dilanggar pada bahagian sisi kanan oleh sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke hospital bagi tujuan bedah siasat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Shamsudin mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Shukri Mat Idris di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan,” katanya.






