SEORANG penunggang motosikal maut manakala kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan Toyota Hilux di Kilometer 15, Jalan Utama Mempaga, Bentong, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.48 malam itu, mangsa berusia 33 tahun yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan membabitkan Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 43 tahun dan motosikal yang ditunggang mangsa bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun sebagai pembonceng.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bergerak dari arah bertentangan.
“Toyota Hilux dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Raub dan pemandunya dipercayai memotong beberapa kenderaan di kawasan garisan berkembar apabila tiba di lokasi kejadian.
“Kenderaan itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala serta tangan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, pembonceng motosikal iaitu kanak-kanak lelaki berkenaan turut cedera parah di kaki kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Bentong.
“Bagaimanapun, pemandu dan penumpang Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Zaiham berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku akibat pemandu Toyota Hilux memotong kenderaan di kawasan garisan berkembar dan memandu secara melulu atau berbahaya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurutnya, pemandu Hilux itu ditahan dan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dipohon bagi membantu siasatan.
“Ujian saringan air kencing mendapati keputusan negatif, manakala sampel darah diambil untuk analisis lanjut.
“Siasatan diteruskan bagi melengkapkan keterangan dan mengenal pasti punca kejadian secara menyeluruh,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak memandu secara berbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.






