PGA rampas 100 kotak minuman keras tidak bercukai bernilai RM409,818

CUBAAN dua lelaki memindahkan 100 kotak minuman keras disyaki tidak bercukai kastam dari sebuah lori ke sebuah kereta gagal apabila mereka diberkas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op Taring Alpha 4 di Jalan Berai, Klang, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Amanjit Singh berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 41 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari hasil maklumat risikan Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih.

Menurutnya, operasi itu turut dibantu Bahagian Siasatan Jenayah serta Unit Rondaan Cegah Jenayah (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai sedang memindahkan kotak minuman keras dari sebuah lori ke sebuah kereta ketika serbuan dijalankan.

“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua kenderaan itu menemui 100 kotak minuman keras yang disyaki tidak bercukai kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori, sebuah kereta dan telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM409,818.

Menurutnya, seorang daripada suspek merupakan warga tempatan manakala seorang lagi ialah warga India.

“Kedua-dua suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

Amanjit berkata, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img