Penunggang motosikal maut tercampak atas bumbung kereta

SEORANG peniaga maut selepas tercampak ke atas bumbung sebuah kereta dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua kereta di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Masjid Tengku Panglima Perang, Sungai Karang, Kuantan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa, Rosdi Shamsuddin, 42, dari Kampung Darat Sekolah Beserah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kemalangan melibatkan motosikal Yamaha 135LC, sebuah Proton Savvy dan Perodua Bezza.

Menurutnya, dua pemandu kereta berusia 21 dan 22 tahun termasuk seorang wanita tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati Proton Savvy yang dipandu seorang mekanik sedang bergerak dari arah bandar Kuantan menuju ke Balok.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu dipercayai gagal mengelak motosikal yang ditunggang mangsa selepas mangsa keluar dari simpang di sebelah kiri jalan sebelum memasuki laluannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, perlanggaran itu menyebabkan mangsa bersama motosikalnya tercampak ke laluan bertentangan.

Menurutnya, mangsa kemudian dirempuh sebuah Perodua Bezza yang dipandu seorang wanita dari arah Balok menghala ke bandar Kuantan.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke atas bumbung kereta dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Ashari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat.

Katanya, sampel darah dan air kencing mangsa turut diambil bagi tujuan ujian toksikologi selain polis sedang mengesan saksi yang melihat kejadian untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img