SEORANG pelajar institut kemahiran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown hari ini, atas pertuduhan merompak dompet milik seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun di tepi Jalan Pahang, bulan lalu.
Tertuduh, M Dinessvvaran, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.
Mengikut pertuduhan, remaja terbabit didakwa melakukan rompakan terhadap Lee Yeow Lim, 78, dengan merampas dompet dari poket baju mangsa di tepi Jalan Pahang pada jam 5.52 petang, 24 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Danial Amir Saad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Adilla Zaharuddin.
Semasa prosiding, Ahmad Danial memohon mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Nur Adilla memohon jaminan lebih rendah dengan memaklumkan anak guamnya merupakan penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra dalam jurusan Mekatronik selain mempunyai masalah gastrik.
Menurutnya, tertuduh juga ditanggung ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan serta mempunyai tiga adik-beradik termasuk seorang abang orang kurang upaya (OKU).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin.
Selain itu, mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mendekati atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan lantikan peguam pada 13 Julai depan.


