SEORANG penuntut lelaki sebuah institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dipercayai sanggup menjadi ‘transporter’ sindiket dadah dengan membawa masuk 14.63 kilogram (kg) bunga ganja bernilai RM1.17 juta dari negara jiran sebelum ditahan polis, Isnin lalu.
Suspek berusia 24 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, dalam operasi itu, suspek ditahan ketika menaiki sebuah pacuan empat roda, dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan 13 bungkusan plastik hitam yang disyaki dadah jenis bunga ganja
“Anggaran berat keseluruhan bunga ganja yang dirampas adalah 14,630.76 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.17 juta.
“Dadah itu dipercayai disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan bagi mengaburi pemeriksaan pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah malam tadi.
Menurut beliau, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berasal dari Rawang, Selangor positif ganja namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, jumlah rampasan itu dianggarkan mampu membekalkan dadah kepada seramai 73,150 penagih.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai penghantar atau transporter kepada sindiket penyeludupan dadah dari negara jiran dengan mendapatkan bekalan di sekitar Dannok, Thailand sebelum dibawa masuk ke Malaysia.
“Suspek mendakwa mula terlibat dalam kegiatan itu sejak 25 Mei lalu selepas diperkenalkan kepada sindiket oleh seorang lelaki di Dannok.
“Dia mengaku sudah empat kali berjaya membawa masuk bekalan dadah sebelum ini untuk dihantar ke lokasi tertentu di Johor dan Kuala Lumpur dengan menerima bayaran RM4,000 bagi setiap penghantaran,” katanya.
Baderulhisham berkata, pada hari kejadian suspek dipercayai cuba membawa masuk satu lagi bekalan dadah untuk dihantar ke Kuala Lumpur, namun berjaya dipatahkan selepas ditahan anggota bertugas di laluan pemeriksaan F dengan bantuan Task Force Balai Polis Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Tambah beliau, suspek kini direman selama enam hari sehingga 21 Jun ini dan ditempatkan di lokap Balai Polis Jitra, Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu bagi membantu siasatan lanjut.






