PGA rampas 1,600 anak pokok bernilai RM310,000

PASUKAN Gerakan Am (PGA) merampas 1,600 pelbagai jenis anak pokok bersama sebuah lori dalam serbuan di sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, di Tanah Merah semalam dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM310,000.

Dalam operasi kira-kira pukul 12.30 tengah hari menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu, dua lelaki masing-masing berusia 62 dan 23 tahun yang dipercayai pemandu serta kelindan turut ditahan bagi membantu siasatan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pasukan operasi menahan sebuah lori jenis Hicom selepas mendapati kenderaan itu berada dalam keadaan mencurigakan ketika melalui sekatan berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan 1,600 anak pokok pelbagai spesies dipercayai dibawa tanpa dokumen berkaitan.

“Rampasan membabitkan 200 anak pokok jambu madu, 200 pokok jambu batu, 200 pokok anggur Brazil, 200 pokok kundang, 200 pokok laici, 200 pokok limau jebo, 200 pokok limau nipis dan 200 pokok asam gelugur dengan nilai dianggarkan RM160,000.

“Turut dirampas sebuah lori jenis Hicom dengan anggaran nilai RM150,000 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM310,000,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, semua anak pokok dan kenderaan yang dirampas dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan selanjutnya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img