PENYOKONG Pakatan Harapan (PH) supaya tidak panik sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bergabung, sebaliknya bersedia menghadapi perubahan landskap politik itu secara matang.
Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu kemungkinan berlakunya penggabungan antara BN dan PN merupakan satu realiti yang perlu diterima dengan tenang.
“Ada yang menyuarakan kebimbangan mengenai senario politik terkini. Bang Mat tidak menafikan bahawa jika BN dan PN bergabung, landskap politik boleh berubah.
“Itu satu hakikat yang perlu kita terima dengan tenang. Kita tidak perlu panik, sebaliknya bersedia menghadapinya dengan matang,” katanya menerusi hantaran di Facebook .
BN dan PN membentuk persefahaman dalam mendepani PRN Negeri Sembilan ke-16 pada 1 Ogos nanti selepas masing-masing tidak bertembung di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, BN dan PN berhak menentukan pendekatan politik masing-masing, manakala Amanah dan PH akan terus berpegang kepada prinsip mengutamakan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan parti atau individu.
Beliau berkata, sejarah turut membuktikan hubungan antara Pas dan UMNO bukan perkara baharu kerana kedua-dua parti itu pernah bekerjasama dan juga pernah berpisah.
“Jika mereka memilih untuk kembali bersama, kita lihat sahaja bagaimana perjalanan itu nanti dan sejauh mana keserasian itu dapat bertahan.
“Bagi Amanah dan PH, yang penting ialah terus bekerja. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa komited membela Melayu dan memartabatkan Islam, bukan melalui ketakutan, tetapi melalui dasar yang memberi manfaat nyata kepada agama, bangsa dan negara,” kata beliau.
Mohamad menegaskan, mereka juga akan terus mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping membina sebuah negara yang stabil, maju dan dihormati oleh dunia.
“Kita juga tidak akan sesekali terperangkap dengan mainan politik yang berasaskan sentimen dan perpecahan.
“Membela Melayu bukan dengan mengulang naratif bahawa Melayu sentiasa terancam. Jika kita terus menanam rasa lemah, bila kita nak membina kekuatan? Tanggungjawab kerajaan ialah membina keyakinan, bukan menyemai ketakutan,” katanya.
Mohamad berkata, beliau juga mempunyai hasrat sama seperti rakyat Malaysia lain yang mahu melihat lahirnya generasi Melayu yang berilmu, berintegriti, berdikari dan berani bersaing dengan sesiapa pun.
Beliau menjelaskan, Melayu yang kukuh ekonominya, mampu menguasai teknologi dan boleh menguasai dunia seperti bangsa-bangsa lain di dunia ini.
“Bang Mat percaya orang Melayu hari ini sudah semakin matang. Mereka tidak lagi mudah terpedaya dengan mainan sentimen yang tidak berkesudahan. Mereka bukan lagi bangsa yang mengharapkan ihsan semata-mata.
“Melayu kini semakin berani berdikari dan lantang menegakkan kebenaran. Akhirnya, Melayu yang kuat bukanlah Melayu yang hidup dalam ketakutan, tetapi Melayu yang berilmu, bermaruah, berintegriti, yakin diri dan berani bersaing dengan sesiapa sahaja,” kata beliau lagi.






