KERAJAAN bersetuju untuk membuka laluan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) kepada pelajar lepasan sekolah atau institusi tahfiz, sekolah swasta dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC/UEC) bagi mengikuti program pengajian tertentu.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai sebahagian usaha memperkasa akses pendidikan tinggi negara secara lebih inklusif tanpa menjejaskan standard akademik dan kualiti sistem pendidikan tinggi.


Menurut kementerian itu, calon daripada aliran berkenaan yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh boleh memohon program pengajian yang ditawarkan melalui sistem UPUOnline mengikut kiraan merit, berdasarkan pakej mata pelajaran ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Permohonan juga tertakluk kepada syarat am dan syarat khas program yang ditetapkan universiti melalui proses pemilihan berdasarkan meritokrasi,” menurut kenyataan KPT yang dikeluarkan hari ini.
KPT berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri turut bersetuju supaya calon daripada aliran terbabit yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM, boleh dipertimbangkan untuk mengikuti program tertentu di IPTA.
Bagi lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).
Bagi lepasan SMPC serta UEC pula, antara program yang dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina serta Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Ia bagi memberikan akses pendidikan tinggi yang inklusif, adil dan berkualiti kepada semua pelajar yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian ke IPTA selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Untuk rekod sebelum ini pelajar lepasan tahfiz, sekolah swasta, SPMC dan UEC yang ingin memohon kemasukan ke IPTA melalui UPUOnline perlu mengambil enam mata pelajaran teras dalam SPM iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam (wajib untuk calon yang menganut Agama Islam) atau Pendidikan Moral (wajib untuk calon yang tidak menganut Agama Islam).


