JEMAAH Menteri hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Lapangan Terbang Landasan Long Lellang di Ulu Baram, Sarawak, semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, mesyuarat turut dimaklumkan bahawa proses siasatan berhubung nahas berkenaan sedang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kami telah dimaklumkan bahawa proses siasatan sedang berjalan serta diusahakan oleh pihak CAAM dan akan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri kelak,” katanya dalam sidang media mingguan Pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.
Menurut Fahmi, siasatan itu penting bagi mengenal pasti punca kejadian, manakala proses pengesahan berkaitan nahas diserahkan kepada CAAM.
Dalam pada itu, beliau berkata, lima mangsa nahas berkenaan sudah dikenal pasti dan waris mereka sudah dimaklumkan.
Dalam kejadian semalam, juruterbang dan empat penumpang helikopter BO-105 yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang di Ulu Baram, Sarawak disahkan meninggal dunia.
Perkara itu disahkan Residen Miri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang selepas kejadian berlaku di hujung landasan kira-kira jam 3.40 petang.
Mangsa terdiri daripada juruterbang, Kapten Zainol Afiq; Dr Ainul Baraah Kamaruddin; Penolong Pegawai Perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya.





