![]()
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memasuki minggu terakhir kempen -detik yang akan menentukan corak pengundian pada 1 Ogos ini.
Selepas lapan hari, jelas Pakatan Harapan (PH) yang berada di posisi mahu MENERUSKAN AGENDA pentadbiran sejak 2018 bersaing sengit dengan Barisan Nasional (BN) yang berada di kedudukan MAHU MENYAMBUNG AGENDA YANG TERGENDALA sejak 2018.
Bagaimanapun setakat semalam (25 Julai) PH dikatakan mengatasi BN tetapi belum mencapai angka majoriti mudah 19 kerusi. Bacaan setakat ini juga menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya lima kerusi yang bakal menjadi penentu kemenangan dengan menyaksikan pertembungan antara PH,Perikatan Nasional (BN) dan Bersatu.
Daripada lima kerusi tersebut empat daripadanya menyaksikan persaingan antara PN dan PH manakala satu kerusi melibatkan BN dan PH.
Daripada 36 kerusi yang dipertandingkan, PH bertanding 36 kerusi, BN (25 kerusi), PN (11 kerusi) dan Bersatu (24 kerusi).
BN dan PN mewujudkan persefahaman tidak bertarung sesama mereka manakala Bersatu yang masih menjadi anggota PN ‘membawa diri’ dengan memilih untuk bertembung dengan BN dan PN di lapan kawasan.
Sudah pastilah BN dengan kemurahan hati mereka memberikan laluan kepada PN bertanding di 11 kerusi termasuk 3 kerusi yang dimenangi oleh Pas sebelum ini, berharap PN akan turut menyumbang kemenangan bagi membolehkan PH ditumbangkan.
Bagaimanapun setakat hari ini di kawasan ditandingi oleh PN khususnya melibatkan wakil daripada Parti Wawasan, calon terlibat masih bergelut meraih sokongan. Ia kerana wujudnya sentimen kecewa dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO akar umbi terhadap keputusan parti menyerahkan kerusi berkenaan kepada PN.
Mereka menyifatkan tindakan itu tidak wajar memandangkan sejak 2023 lagi, mereka sudah membuat persiapan tetapi akhirnya ia ditandingi oleh Wawasan. Di kerusi tertentu pula, ada sentimen yang sama tetapi turut melibatkan ahli Pas.
Keadaan itu berlaku kerana di peringkat bahagian, mereka sudah sepakat akan bekerjasama menyokong antara sama lain atas semangat UMNO-Pas. Tetapi berlaku sebaliknya menyebabkan lima kerusi berada dalam situasi 50-50.
Sementara itu, kehadiran Bersatu pula dilihat sekadar akan memecah undi khususnya melibatkan lapan kawasan yang menyaksikan pertembungan parti itu dengan PN dan BN.

Bagaimanapun setakat ini sama ada BN, PN mahupun Bersatu tidak ada isu-isu yang betul kukuh untuk dijadikan alasan bagi membolehkan mereka menggantikan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah PH yang diketuai oleh Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ia memandangkan rekod pentadbiran negeri menunjukkan kedudukan kewangan negeri berada dalam keadaan baik. Contohnya, kutipan Hasil: RM413 juta (2017) kepada RM610 juta (2025), Rizab Negeri: RM725.96 juta (2017) kepada RM1.04 bilion (2025), Pelaburan: RM1.14 bilion (2017) kepada RM54.3 bilion (2025), KDNK Negeri: RM46.3 bilion (2020) kepada RM54.3 bilion (2025) dan Kadar pengangguran: 3.8% (2020) kepada 3.1% (2025). Begitulah juga dari segi kebajikan,pendidikan dan ekonomi.
Prestasi Amiruddin inilah yang menjadi ‘taruhan’ PH yang sedikit sebanyak ‘menghalang’ BN,PN mahupun Bersatu untuk menjelaskan kepada rakyat kenapa kerajaan negeri perlu ‘bertukar tangan’.
Dari segi manifesto pula, apa yang ditawarkan oleh BN-PN dan Bersatu tidak ada perbezaan ketara kecuali dari segi angka mahu dicapai dan bentuk yang mahu dilaksanakan. Contohnya jika PH menawarkan 30,000 peluang pekerjaan, BN-PN dan Bersatu menawarkan 50,000 peluang tersebut.
Begitu juga dari segi kebajikan rakyat, PH mahu memperkasa dan memperkukuhkan Skim Sejahtera Rakyat (SSR) untuk anak Negeri Sembilan dengan menambahbaik kadar bantuan tunai secara One-Off daripada bayi yang baru dilahirkan di hospital hinggalah warga emas di penghujung desa.
BN pula menawarkan skim Salam Sejahtera – Salam Tahniah untuk bayi, kanak-kanak,pelajar sekolah, siswa, siswazah dan beliau. Selain Salam Sayang untuk warga emas dan waris kematian.
Oleh itu pertarungan di Negeri Sembilan boleh dianggap sekadar mahu menukarkan kerajaan negeri sahaja…tidak lebih dari itu. Tidak ada isu besar termasuklah dari segi integriti untuk menolak Amiruddin yang dianggap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘pemimpin baik’ atau ‘membungkus’ Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di Chennah.
Justeru segala-galanya terserah kepada pengundi Negeri Sembilan untuk mempertimbangkan siapakah mereka rasa layak untuk menerajui negeri penuh adat itu. Adakah kekal memberi mandat kepada PH untuk MENERUSKAN KESINAMBUNGAN bagi membina Negeri Sembilan lebih maju, makmur dan inklusif menjelang tahun 2045?
Atau mengizinkan BN MENYAMBUNG AGENDA YANG TERGENDALA pada 2018 demi untuk #Hebatkan semula Negeri Sembilan – melalui misi Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat dibela, Kemakmuran Dijaga dengan kerjasama PN.
Atau membenarkan Bersatu ‘kacau daun’ sehingga kestabilan yang tergendala berikutan tindakan BN menarik sokongan terhadap Amiruddin berterusan.
Tidak kira siapapun pengundi mahu pilih itu hak mutlak mereka, cuma pastikan mereka khususnya pengundi atas pagar membuat keputusan berdasarkan fakta dan rekod sesebuah gabungan atau parti.
Justeru perlu ditegaskan masih terlalu awal untuk merumuskan kedudukan atau bacaan akan kekal sehingga hari pengundian atau pihak mana yang akan menang. Situasi akan berubah dari semasa ke semasa sehingga Jumaat ini iaitu hari terakhir kempen. Sama-samalah kita tunggu.






