Pertama kali IPD Hilir Perak dijadikan PPS tempatkan mangsa banjir

BAGI menampung jumlah mangsa yang semakin meningkat, buat pertama kali Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) sejak 27 November lalu untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir yang memerlukan tempat perlindungan segera.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, keputusan itu dibuat bagi menampung keperluan mangsa yang semakin meningkat, selain tiada lokasi lain yang sesuai pada waktu ini.

“Setakat ini, PPS di IPD ini menempatkan 175 mangsa. Kami menawarkan kemudahan dewan serbaguna manakala pengurusannya dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) serta agensi berkaitan lain.

“Buat masa ini, situasi terkawal dan segala urusan harian berjalan seperti biasa, termasuk urusan membuat laporan serta aduan berkaitan kes lain,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.

Sehingga jam 3 petang ini, seramai 6,091 mangsa membabitkan 1,902 keluarga berlindung di 45 PPS seluruh Perak meliputi enam buah daerah.

Bakri berkata, pihaknya berharap semua mangsa mematuhi arahan dan prosedur yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan serta keselamatan sepanjang tempoh penempatan.

“Kita juga harap mereka bersabar dan reda dengan dugaan ini. Pihak pengurusan akan memastikan keselamatan semua mangsa, khususnya di PPS IPD Hilir Perak terjamin,” katanya.

Sejak banjir melanda daerah Hilir Perak, pasukan IPD tersebut mengambil langkah proaktif membantu usaha menyelamat dan memindahkan mangsa menggunakan aset pasukan di sekitar daerah itu.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img