POLIS menerima 16 laporan berkaitan ancaman keselamatan siber dalam tempoh 10 hingga 31 Oktober lalu, membabitkan anggaran kerugian keseluruhan RM79.16 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, daripada jumlah itu, dua laporan membabitkan kehilangan wang daripada akaun bank dengan kerugian masing-masing RM14.52 juta dan RM21.8 juta.
Beliau berkata, 11 lagi kes melibatkan kompromi perkakasan serta kehilangan aset kripto dengan jumlah kerugian RM42.82 juta, manakala semua laporan berkenaan masih dalam siasatan.
“JSJK turut menerima laporan berhubung penggodaman paparan skrin LED di Kluang dan Bandar Sunway yang memaparkan kandungan tidak wajar serta lucah,” katanya.
Mengulas statistik jenayah komputer, Rusdi berkata, sebanyak 1,297 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding 1,174 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Katanya, jumlah kerugian bagi tempoh berkenaan turut menurun kepada RM125.62 juta berbanding RM239.2 juta tahun lalu.
Beliau berkata, JSJK terus memperkukuh keupayaan analisis forensik digital, khususnya dalam siasatan kes membabitkan aset kripto, selain mengenal pasti kelemahan sistem keselamatan bagi merangka langkah pencegahan.
Menurutnya, kerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) akan diberi tumpuan bagi kes berkaitan sistem kewangan, manakala Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berperanan sebagai peneraju aspek keselamatan siber.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan individu atau organisasi yang berdepan serangan mahupun percubaan pencerobohan siber supaya membuat laporan polis walaupun belum mengalami kerugian.
“Jangan berdiam diri walaupun masih belum ada kerugian. Kita perlu menerima laporan supaya dapat memantau perkembangan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Orang ramai dan organisasi juga perlu memperkukuh perlindungan sistem melalui kawalan keselamatan, kemas kini sistem serta pengurusan akses, selain melaksanakan pemantauan ancaman bagi mengesan pencerobohan lebih awal,” katanya.





