PERTUMBUHAN ekonomi sebanyak enam peratus pada suku kedua tahun ini mencerminkan prestasi ekonomi yang kukuh selain memberi keyakinan kepada pelabur terhadap prospek Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan, pertumbuhan itu tidak wajar disalah tafsir sebagai petunjuk peningkatan hasil negara secara langsung.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, tanggapan bahawa pertumbuhan yang tinggi akan membolehkan kerajaan menjana hasil lebih besar serta dapat meningkatkan perbelanjaan, adalah tidak tepat dari sudut ekonomi.
“Ramai yang tanya, dah catat enam peratus pertumbuhan (kadar Keluaran Dalam Negara Kasar), ….sepatutnya hasil tinggi, dan belanja boleh lebih banyak. Tapi itu tak betul.
“Pertumbuhan tinggi dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pusat data, digital, tidak memberikan hasil (secara langsung kepada) pendapatan negara. Ia memberikan (menyumbang) dari segi pembangunan, peluang pekerjaan, peningkatan keupayaan dan teknologi,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Expo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.
Perdana Menteri berkata, pelaburan dalam bidang digital dan teknologi berbeza dengan pembuatan atau pertanian yang menjana pulangan terus kepada negara sebaliknya pelaburan dalam bidang berkenaan memberi manfaat tidak langsung yang mengambil masa untuk diterjemahkan kepada hasil negara.





